Minggu, 02 September 2012

Hadis 40 Imam Nawawi


SETIAP HADIS DARIPADA 40 HADIS INI MENJADI KAEDAH, TUNGGAK ATAU PRINSIP YANG AGUNG DARIPADA KAEDAH-KAEDAH 
AGAMA ISLAM.

“ Sesungguhnya Allah swt telah menetapkan beberapa kewajipan, maka janganlah engkau meninggalkannya. Dan telah menentukan beberapa hudud ( batas ), maka janganlah engkau melampauinya. Dan telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah melanggarinya. Dan Dia telah diam daripada beberapa perkara sebab rahmat bagimu, bukannya kerana lupa, maka janganlah engkau mempersoalkannya.
Hadis Riwayat Al Baihaqi.


HADIS 1
Pahala Amal Bergantung Kepada Niat
Rasulullah saw bersabda : Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu 
bergantung kepada niatnya, dan sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkanya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, dia akan sampai kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah menuju dunia yang akan diperolehinya atau menuju wanita yang hendak dinikahinya, dia akan mendapatkan apa yang diniatkannya.
Hadis riwayat Al Bukhari dan Muslim

HADIS 2
Iman, Islam Dan Ihsan
Maksudnya: “Pada suatu hari ketika kami sedang berada di dalam sebuah majlis bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba tampillah
di hadapan kami  seorang lelaki yang berpakaian serba puih,                                                                                                                                                                     
berambut sangat hitam, tidak terlihat padanya tanda-tanda bekas perjalanan, dan tidak seorang pun antara kami yang mengenalinya. Lalu duduklah dia di hadapan Nabi SAW, kemudian menyandarkan lututnya pada lutut Nabi dan meletakkan tangannya di atas paha Nabi. 
Selanjutnya dia berkata:` Hai Muhammad, beritahukan kepadaku tentang islam !` Rasulullah SAW menjawab: `Islam itu, engkau bersaksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad itu utusan Allah, engkau mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan, dan menunaikan haji jika engkau mampu melakukannya.` Orang itu berkata: `Engkau benar.` Kami pun berasa hairan, kerana dia bertanya lalu membenarkan. 
Orang itu berkata lagi: `Beritahukan kepadaku tentang iman !` Nabi SAW menjawab: `Engkau beriman kepada Allah, kepada para malaikat-Nya kepada kitab-kitab-Nya, kepada utusan-utusan-Nya, kepada hari 
                                                                           
kiamat, dan kepada takdir, yang baik mahupun yang buruk.` Berkatalah orang tadi: `Engkau benar`. Orang itu berkata lagi: `Beritahukan kepadaku tentang ihsan.` Nabi SAW berkata: `Engkau beribadah kepada Allah, seakan-akan engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak melihat-Nya,                                                                             
sesungguhnya Dia pasti melihatmu.` Orang itu bertanya lagi:  Beritahukan kepada ku tentang kiamat. Nabi saw menjawab: Orang yang ditanya tentang itu tidak lebih tahu dari yang bertanya. Selanjutnya orang itu bertanya lagi.: Beritahukan kepadaku tentang tanda-tandanya. Nabi saw menjawab: Jika hamba perempuan telah melahirkan tuannya, jika engkau melihat orang yang tidak beralas kaki, tidak berbaju, miskin dan pengembala kambing berlumba-lumba dalam mendirikan bangunan. Kemudian orang tersebut pun beredar tetapi aku masih diam tercenggang ( beberapa lama) . Kemudian nabi saw berkata
kepadaku. Wahai Umar, tahukah engkau siapa yang bertanya itu? Saya menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Nabi saw berkata:                                                                                                                                                                                                       Dia ialah Jibril. Dia datang kepada kamu untuk mengajarkan kepada kamu agama kamu.
Hadis Riwayat Muslim, At Tirmidzi & Abu Daud.

HADIS 3
Rukun Islam Yang Lima
Rasulullah saw bersabda : Islam didirikan atas lima perkara iaitu:  Bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan berpuasa pada bulan Ramadhan.
Hadis Riwayat Bukhari & Muslim.

HADIS 4
Tahap Penciptaan Manusia Ketentuan Kesudahannya.
Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya dikumpulkan penciptaan setiap kamu di dalam rahim ibu selama empat puluh hari dalam bentuk nuthfah ( sperma ), kemudian menjadi ‘alaqah ( segumpal darah ) selama itu juga, kemudian menjadi mudghah ( segumpal daging ) selama itu juga, kemudian diutuskan malaikat untuk meniupkan roh kepadanya. Lalu diperintahkan untuk menuliskan empat perkara: REZEKINYA, AJALNYA, AMAL PERBUATANNYA DAN SENGSARA ATAU BAHAGIANYA. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain-Nya, ada seseorang antara kamu mengerjakan amalan ahli syurga, sehingga tidak ada jarak antara dirinya dan syurga kecuali sehasta sahaja. Maka dahululah atasnya takdir Allah, lalu dia melakukan perbuatan ahli neraka hingga ia masuk ke dalamnya. Ada seorang antara kamu mengerjakan amalan ahli neraka, sehingga tidak ada lagi jarak antara dirinya dan neraka kecuali sehasta sahaja. Maka dahululah ketentuan Allah, lalu dia melakukan perbuatan ahli syurga, dia pun masuk ke dalam syurga.
Hadis Riwayat Bukhari & Muslim

HADIS 5
Amalan Yang Tertolak
Rasulullah saw bersabda : Sesiapa yang mengada- ngadakan yang baru 
( bidaah ) dalam urusan ( agama ) kami ini, amalan yang bukan
bahagian daripadanya, dia tertolak.
Hadis Riwayat Bukhari & Muslim

HADIS 6
Yang Halal Dan Yang Haram
Rasulullah saw bersabda : Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua-duanya ada perkara yang samar-samar ( syubhah ). Kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. Maka sesiapa menjaga dirinya daripada yang syubhah itu, bererti dia telah membersihkan agama dan kehormatannya. Sesiapa yang melakukan perkara syubhah itu, dia telah jatuh dalam perkara yang haram; seperti penggembala yang berada di sekeliling batas tanah gembalaan milik orang ( tanah larangan ) lambat laun dia akan masuk ke dalamnya. Ingatlah, bahawa setiap raja ada larangannya dan ingatlah, bahawa larangan Allah adalah apa-apa yang diharamkan-Nya. Ingatlah, bahawa dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah, bahawa segumpal daging itu adalah hati.
Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Abu Daud.

HADIS 7
Agama Itu Nasihat
Rasulullah saw bersabda : Agama itu nasihat. Kami bertanya: Untuk siapa? Baginda menjawab: Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin kaum muslimin, dan bagi manusia umumnya.
Hadis Riwayat Ahmad, Muslim & Abu Daud.

 HADIS 8
Kehormatan Seorang Muslim
Rasulullah saw bersabda: Saya diutus untuk memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah, mendirikn solat, dan mengeluarkan zakat. Apabila mereka mengerjakan hal itu, bererti mereka telah menjaga darah dan hartanya daripadaku, kecuali menurut hukum islam, dan perhitungan amal mereka terserah kepada Allah Swt.
Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Ahmad

HADIS 9
Pilih Yang Mudah Dan Tinggalkan Yang Susah
Rasulullah saw bersabda: Apa pun yang saya larang kamu lakukan, maka jauhilah; dan apa pun yang saya perintahkan kamu lakukan, maka kerjakanlah sekadar kemampuan. Sesungguhnya yang membinasakan orang sebelum kamu adalah banyaknya pertanyaan dan perselisihan mereka dengan nabi-nabi mereka ( tidak mahu taat dan patuh ).
Hadis Riwayat Bukhari & Muslim.

HADIS 10
Baik Dan Halal Syarat Diterima Doa
Rasulullah saw bersabda : Sesungguhnya Allah itu Maha Baik, tidak menerima sesuatu kecuali yang baik. Dan Allah memerintahkan kepada orang mukmin sebagaimana Dia memerintahkan kepada para rasul. Allah swt berfirman: Hai para rasul, makanlah segala sesuatu yang baik dan kerjakanlah amalan yang soleh.( Surah Al Mukmin 23:51 ) 
Dia juga berfirman: Hai orang yang beriman, makanlah apa-apa yang baik daripada yang telah Kami rezekikan kepadamu .(Surah Al Baqarah 2: 172)
Kemudian Rasulullah saw menceritakan perihal seseorang yang menempuh perjalanan jauh, rambutnya kusut masai dan penuh debu. Dia menadahkan kedua-dua tangannya ke langit dan berkata: Wahai Tuhan ! Wahai Tuhan !                                                                                                                sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan perutnya dikenyangkan dengan makanan haram, maka bagaimana akan diterima permohonannya (doanya)
Riwayat Ahmad, Muslim & Al Tirmidzi

HADIS 11
Tinggalkan Yang Meragukan
Sabda Rasulullah saw: Tinggalkanlah apa yang meragukanmu dan kerjakanlah apa yang tidak meragukanmu.
Hadis Riwayat At Tirmidzi

HADIS 12
Kesempurnaan Islam Seseorang
Rasulullah saw bersabda: Sebahagian daripada tanda baiknya ( kualiti ) keislaman seseorang ialah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya.
Hadis Riwayat Al Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad dan Al Baihaqi.

HADIS 13
Ukhwah Islamiah
Rasulullah saw bersabda: Tidak beriman ( secara sempurna ) seseorang kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.
Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad.

HADIS 14
Halalnya Darah Seorang Muslim
Rasulullah saw bersabda: Tidak halal darah seorang Muslim yang bersaksi bahawa tidak ada yang disembah melainkan Allah dan aku adalah utusan Allah kecuali kerana salah satu daripada tiga perkara : Berzina, pada hal dia sudah berkahwin, membunuh orang dan meninggalkan agamanya serta memisahkan diri daripada jemaah
 ( murtad )
Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
                                                                               
HADIS 15
Etika Orang Beriman
Rasulullah saw bersabda : “ Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah berkata baik atau diam. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah menghormati jiran tetangganya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah menghormati tetamunya.” 
Hadis Riwayat Bukhari & Muslim.

HADIS 16
Jangan Marah
Diriwayatkan daripada Abu hurairah r.a, bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi saw: Berilah wasiat kepadaku. Nabi saw bersabda : Jangan marah! Beliau mengulanginya beberapa kali dan bersabda: Jangan marah !.
Hadis Riwayat Bukhari, Ahmad dan At Tirmidzi

HADIS 17
Kebaikan Pada Semua Perkara
Rasulullah saw bersabda : Sesungguhnya Allah telah menetapkan ihsan
 ( kebaikan ) atas semua perkara. Kerana itu, jika engkau membunuh
 ( dalam peperangan ), bunuhlah dengan baik; jika kamu menyembelih, sembelihlah dengan baik. Dan hendaklah seseorang daripada kamu menajamkan pisaunya dan menyenangkan ( tidak menyeksa ) haiwan sembelihannya.
Hadis Riwayat Muslim, Al Baihaqi & Ibnu Majah.

HADIS 18
Bertakwa Kepada Allah Dan Akhlak Terpuji
Rasulullah saw bersabda : Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja engkau berada. Ikutilah segera kejahatan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu menghapuskannya, dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.
Hadis Riwayat Ahmad, Al Tirmidzi dan Al Hakim

 HADIS 19
Jagalah Allah , Nescaya Allah Menjagamu
Rasulullah saw bersabda : Jagalah Allah nescaya engkau mendapati-Nya di hadapanmu, kenalilah Allah pada waktu lapang nescaya Dia mengenalimu pada waktu kesusahan. Ketahuilah, bahawa apa yang luput daripadamu tidak bakal mengenaimu, dan apa yang mengenaimu tidak bakal luput daripadamu. Ketahuilah bahawa bersama kesabaran ada kemenangan, bersama kesusahan ada jalan keluar; dan bersama kesulitan ada kemudahan.

HADIS 20
Malu Sebahagian Iman
Rasulullah saw bersabda : Sesungguhnya sebahagian daripada apa yang telah dikenali orang daripada ungkapan kenabian yang pertama adalah; Jika engkau tidak malu, berbuatlah sekehendakmu.
Hadis Riwayat Bukhari & Abu Daud.

HADIS 21
Istiqamah Dan Iman
Daripada Abu ‘Amr Sufyan bin Abdullah Al Tsaqafi r.a berkata: Aku berkata : Wahai Rasulullah, katakanlah kepada satu ungkapan tentang 

Islam, yang saya tidak memintanya kepada seorang pun kecuali kepadamu. Rasulullah saw bersabda: Katakanlah, aku beriman kepada Allah, kemudian istiqamahlah.
Hadis Riwayat Muslim, Ibnu Majah & Al Nasa’i

HADIS 22
Syarat Masuk Syurga
Diriwayatkan oleh Abi Abdullah Jabir Bin Abdullah Al Ansari r.a, bahawa seseorang bertanya kepada Rasulullah saw katanya : Bagaimana pendapatmu jika saya melakukan solat fardu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menghalalkan yang halal, dan mengharamkan yang haram, serta    tidak menambahkan selain itu sedikit pun,                                                                                                         
adakah saya masuk syurga? Nabi saw menjawab : Ya !
Hadis Riwayat Muslim & Ahmad

HADIS 23
Kebersihan Sebahagian Daripada Iman
Rasulullah saw bersabda ; Kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman,Alhamdulillah memberatkan timbangan, Subhanallah dan Alhamdulillah, kedua-duanya memenuhi ruang di antara langit dan bumi. Solat itu adalah Nur, Sedekah itu adalah bukti, sabar itu adalah sinaran dan Al Quran itu adalah hujah ( untuk membela atau menentang ). Setiap manusia bekerja , maka ada yang menjual dirinya dan ada yang membebaskan dirinya dengan bekerja keras untuk keselamatan atau kecelakaannya.
Hadis Riwayat Muslim & At Tirmidzi.

HADIS 24
Haram Menzalimi
Daripada Abi Dzar Al Ghifari r.a. meriwayatkan daripada Nabi saw, menurut apa yang diriwayatkan daripada Allah swt, sesungguhnya Dia berfirman :
Wahai hamba-Ku, Sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku menjadikannya haram atas kamu, maka janganlah kamu berbuat kezaliman. Wahai orang yang sesat, kecuali yang telah Ku beri petunjuk, maka mintalah petunjuk kepada-Ku nescaya Kuberi.Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang lapar, kecuali yang telah Aku beri makan, maka mintalah makan kepada-Ku nescaya Ku beri. Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang telanjang, kecuali yang telah Kuberi pakaian, maka mintalah pakaian kepada-Ku nescaya Ku beri. Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kamu selalu berbuat salah siang dan malam dan Aku mengampuni semua dosa, maka mintalah ampun kepada-Ku nescaya Kuberi. 
 Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kamu tidak dapat menimpakan kecelakaan pada-Ku dan tidak juga dapat memberi manfaat. Wahai hamba-Ku, jika orang-orang yang terdahulu dan orang-orang terakhir daripadamu, juga umat manusia dan para jin, semuanya bertakwa seperti yang paling takwa antara kamu, maka hal itu tidak menambah keagungan-Ku sedikitpun. Wahai hamba-Ku, jika yang pertama dan terakhir daripada kamu semua, juga umat manusia dan para jin, semuanya berbuat jahat seperti sejahat-jahat orang antara kamu, maka hal itu tidak mengurangi keagungan-Ku sedikit pun. Wahai hamba-Ku, jika orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terakhir daripada kamu, juga umat manusia dan para jin, semuanya berada di satu tempat untuk meminta kepada-Ku, dan Aku penuhi permintaan setiap mereka, hal itu tidaklah mengurangi milik-Ku sedikit pun, kecuali seperti sebatang jarum yang terkena air tatkala dicelupkan di lautan. Wahai hamba-Ku, sesungguhnya semua itu adalah amal perbuatanmu.
                                                                            
Aku catat semuanya untuk mu kemudian Ku balas ia. Maka barang siapa mendapatkan kebaikan, hendaklah memuji Allah, dan barang siapa mendapat selain itu, janganlah menyalahkan kecuali dirinya sendiri.
Hadis Riwayat Bukhari & Muslim.

HADIS 25
Bersedekah Bukan Sahaja Dengan Harta
Daripada Abu Dzar r.a berkata, sebahagian sahabat berkata kepada Rasulullah saw: Wahai Rasulullah , orang-orang kaya pergi membawa banyak pahala. Mereka solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa, namun mereka dapat bersedekah dengan kelebihan hartanya. Nabi saw bersabda : Bukankah Allah telah menjadikan untukmu sesuatu yang dapat disedekahkan? Sesungguhnya setiap kali tasbih ( bacaan Subhanallah ) adalah sedekah, setiap kali tahmid ( bacaan Alhamdulillah ) adalah sedekah, setiap kali tahlil ( bacaan Laa ilaaha illaallah ) adalah sedekah, menyuruh kepada kebaikan adalah sedekah, melarang kemungkaran adalah sedekah, dan jimaknya salah seorang antara kamu juga adalah sedekah.
Mereka bertanya: Wahai Rasulullah, adakah jika salah seorang daripada kami memenuhi hajat syahwatnya berpahala? Rasulullah saw menjawab: Menurutmu, bukankah jika dia menyalurkan syahwatnya pada yang haram, maka dia berdosa? Maka demikian pula apabila dia menyalurkannya pada yang halal, dia mendapat pahala.
Hadis Riwayat Ahmad & Muslim

HADIS 26
Mendamaikan Pertikaian Dengan Adil
Rasulullah saw bersabda : Setiap sendi tubuh manusia wajib mengeluarkan sedekah, setiap hari di mana matahari terbit padanya, engkau berlaku adil terhadap dua orang ( yang bertelingkah ) adalah sedekah, menolong seseorang pada kenderaannya lalu engkau membantunya untuk naik keatas kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah ketika engkau berjalan menuju solat adalah sedekah dan menhilangkan gangguan daripada jalan adalah sedekah.
Hadis Riwayat Bukhari & Muslim

HADIS 27
Kebaikan Dan Dosa
Rasulullah saw bersabda: Kebaikan adalah akhlak yang baik, sedangkan dosa adalah segala hal yang mengusik jiwamu dan engkau tidak suka jika orang lain melihatnya.
Hadis Riwayat Bukhari, Ahmad & Muslim

HADIS 28
Menghayati Sunnah Dan Menghindari Bidaah.
Daripada Abu Najih Al Irbad Bin Sariah r.a berkata : Rasulullah saw menasihati kita dengan nasihat perpisahan yang menggetarkan hati dan 
membuat air mata jatuh bercucuran. Kami bertanya: Wahai Rasulullah , nasihat itu seakan-akan nasihat yang terakhir, oleh itu berilah kami wasiat. Nabi saw bersabda: Saya memberi  wasiat kepadamu agar tetap bertakwa kepada Allah Azza wa Jalla, mendengar dan taat walaupun yang memerintahkanmu adalah seorang hamba. Sesungguhnya, sesiapa antara kamu masih hidup nescaya bakal menyaksikan banyak perselisihan. Kerana itu berpegang teguhlah pada sunahku dan sunah Khulafa al Rasyidin yang lurus. Dan berpeganglah pada sunah-sunah itu dengan kuat dan jauhilah olehmu akan hal-hal baharu yang diada-adakan ( bidaah ) kerana sesungguhnya semua bidaah itu sesat.
Hadis Riwayat Abu Daud 7 Al Tirmidzi

HADIS 29
Amalan Ke Syurga
Daripada Mu’az bin Jabal r.a berkata  bahawa beliau bertanya Rasulullah saw: 
Wahai Rasulullah ,beritahukan kepadaku tentang satu amal yang dapat memasukkanku ke dalam syurga dan menjauhkanku daripada neraka. Nabi saw menjawab: Engkau bertanya tentang perkara yang besar. Namun sesungguhnya ia adalah mudah bagi orang yang dimudahkan oleh Allah swt. Sembahlah Allah dan jangan menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun, kerjakanlah solat, keluarkanlah zakat, berpuasalah pada bulan Ramadhan, dan kerjakanlah ibadah haji ke Baitullah. Kemudian Baginda bersabda: Inginkah engkau ku beri petunjuk akan pintu-pintu kebaikan? Puasa itu adalah sebagai perisai, sedekah adalah amal yang menghapuskan kesalahan sebagaimana air yang memadamkan api, dan solat seseorang di tengah malam.Kemudian baginda membaca ayat pada surah al sajadah, ayat 16-17. Mereka merenggangkan diri daripada tempat tidur (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan solat tahajud dan amal-amal soleh) : mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut ( akan kemurkaan-Nya ) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi  ( keredhaan-Nya ) dan mereka selalu  pula mendermakan sebahagian  daripada apa yang Kami beri kepada mereka. Maka tidak ada seorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka ( daripada segala jenis nikmat ) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan. Kemudian baginda bersabda. Mahukah engkau kuberitahu tentang pokok amal, tiang dan puncaknya? 
Saya menjawab: Mahu, wahai Rasulullah. Rasulullah saw bersabda: pokok amal adalah islam, tiangnya adalah solat, dan puncaknya adalah jihad. Kemudian baginda bersabda: Mahukah engkau ku beritahu tentang kunci daripada semua perkara itu? Saya menjawab: Mahu, wahai Rasulullah. Baginda lalu memegang lidahnya dan bersabda: 

Jagalah ini !. Saya berkata : Wahai Nabi Allah, adakah kita dihisab atas apa yang kita katakan? Baginda bersabda : Semuga ibumu kehilanganmu! ( ungkapan hairan ) Bukankah tidak ada yang menjerumuskan orang ke dalam neraka melainkan hasil daripada ucapannya( yang berbentuk maksiat )?
Hadis Riwayat Ahmad & At Tirmidzi

HADIS 30
Allah Menetapkan Kewajipan
Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya Allah swt telah menetapkan beberapa kewajipan, maka janganlah engkau meninggalkannya. Dan telah menentukan beberapa hudud ( batas ), maka janganlah engkau melampauinya. Dan telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah melanggarinya. Dan Dia telah diam daripada beberapa perkara sebab rahmat bagimu, bukannya kerana lupa, maka janganlah engkau mempersoalkannya.
Hadis Riwayat Al Baihaqi.

HADIS 31
Hakikat Zuhud
Wahai Rasulullah, tunjukkanlah saya suatu pekerjaan yang jika dikerjakan nescaya saya dicintai Allah dan dicintai umat manusia. Rasulullah saw   bersabda: Zuhudlah engkau akan dunia, nescaya                                                                                                               bersabda: Zuhudlah engkau akan dunia, nescaya Allah mencintaimu, dan zuhudlah engkau akan apa yang ada pada manusia, nescaya mereka menyintaimu.
Hadis Riwayat Ibnu Majah

HADIS 32
Tidak Boleh Menimpakan Bahaya
Rasulullah saw bersabda: Tidak boleh menimpa bahaya ( kepada orang yang tidak bersalah ) dan menimpakan balasan yang membahayakan
 ( melanggar syarat ).
Hadis Riwayat Ahmad


HADIS 33
Bukti Bagi Menuduh Dan Sumpah Bagi Mengingkari
Rasulullah saw bersabda : Jika semua orang dipenuhi akan tuntutannya, nescaya akan ada orang yang menuntut harta benda dan darah suatu kaum. Akan tetapi hendaklah ada bukti bagi orang yang menuduh dan ada sumpah bagi yang mengingkari.
Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Al Baihaqi


HADIS 34
Mengubah Kemungkaran
Rasulullah saw bersabda: Sesiapa antara kamu melihat kemungkaran hendaklah dia mengubah dengan tangannya, jika tidak sanggup maka dengan lisannya, dan jika tidak sanggup juga maka dengan hatinya. 
Itu adalah selemah-lemah iman.
Hadis Riwayat Ahmad, Muslim & Abu Daud.

HADIS 35
Nilai Persaudaraan
Rasulullah saw bersabda: Janganlah saling mendengki, saling menipu, saling membenci, saling membelakangi dan janganlah sebahagian kamu membeli barang yang telah dibeli oleh orang lain. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lain. Dia tidak patut menzalimi, membohongi, dan merendahkannya. Takwa itu disini ( beliau menunjuk dadanya tiga kali ). Cukuplah seseorang dikatakan buruk jika sampai menghina saudaranya sesama setiap muslim adalah haram bagi muslim yang lain.
Hadis Riwayat Ahmad & Muslim

HADIS 36
Balasan Meringankan Beban Orang Lain
Rasulullah saw bersabda: Sesiapa melepaskan salah satu kesusahan dunia daripada seorang mukmin, maka Allah akan melepaskan salah satu kesusahan pada hari kiamat daripadanya. Sesiapa memudahkan orang yang tengah dilanda kesulitan maka Allah akan memudahkannya didunia dan akhirat. Sesiapa menutup aib seseorang Muslim maka Allah akan menutup aibnya didunia dan akhirat. Allah menolong hamba itu selama hamba itu menolong saudaranya. Sesiapa menempuh suatu jalan dalam rangka mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah dengan membaca kitab Allah dan mempelajarinya bersama-sama, kecuali bahawa ketenteraman akan turun kepada mereka, malaikat menaungi mereka di hadapan makhluk yang di sisi-Nya, dan sesiapa yang lambat ( kurang ) amalannya, maka tidak akan dipercepatkan mengangkat darjatnya.
Hadis Riwayat Muslim & At Tirmidzi

HADIS 37
Keadilan Dan Kurnia Allah
Daripada Ibn Abbas r.a meriwayatkan daripada Rasulullah saw wahyu daripada Allah swt yang berfirman: Sesungguhnya Allah menetapkan kebaikan-kebaikan dan keburukan-keburukan kemudian menerangkannya: Sesiapa berhasrat mengerjakan namun tidak jadi mengerjakan,Allah       mencatat di sisi-Nya satu kebaikan                                                                                                         yang sempurna. Jika dia berhasrat mengerjakan kebaikan  lalu benar-benar mengerjakannya, Allah mencatat nilai kebaikan itu sepuluh kali hingga tujuh ratus kali ganda, bahkan berlipat ganda lagi. Dan sesiapa berhasrat mengerjakan keburukan namun tidak jadi mengerjakannya, Allah mencatat disisi-Nya satu kebaikan yang sempurna, dan jika dia berhasrat mengerjakan keburukan lalu benar-benar mengerjakannya, Allah hanya mencatat satu keburukan untuknya.
Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari & Muslim.

HADIS 38
Syarat Mendekatkan Diri Kepada Allah
Rasulullah saw bersabda: bahawa Allah swt berfirman : Sesiapa memusuhi wali-Ku, maka Kuizinkan dia diperangi. Tidaklah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan suatu amal yang lebih Ku sukai daripada jika dia mengerjakan amal yang Kuwajibkan kepadanya. Hamba-Ku sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunah hingga Aku mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, jadilah Aku sebagai telinganya untuk mendengar dan sebagai matanya untuk melihat dan sebagai kakinya untuk berjalan dan jika dia meminta kepada-Ku pasti Kuberi dan jika dia minta perlindungan kepada-Ku pasti Kulindungi.
Hadis Riwayat Bukhari & Al Baghawi.

HADIS 39
Kesulitan Yang Dipermudahkan
Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya Allah telah memaafkan ( keranaku ) daripada umatku amal-amal yang khilaf dan yang dipaksakan atas mereka.
Hadis Riwayat Ibnu Majah, Al Baihaqi & Al Hakim

HADIS 40
Mengambil Dunia Untuk Keselamatan Akhirat
Rasulullah saw bersabda : Jadilah engkau didunia ini seakan-akan orang asing atau pengembara,. Lalu Ibnu Umar r.a berkata: Jika engkau telah berada di waktu petang, maka janganlah dinantikan waktu pagi. Jika engkau berada diwaktu pagi, maka janganlah dinantikan waktu petang. Pergunakanlah waktu sihatmu sebelum sakit dan waktu hidup sebelum mati.
Hadis Riwayat Bukhari & At Tirmidzi

0 komentar:

Posting Komentar

Berkomentar lah tentang Artikel ini :

Share